KUCHING, 27 Mei 2025 – Satu sesi libat urus telah diadakan bagi memperkasa Agenda Bumiputera dalam perolehan kerja kerajaan sektor pembinaan, khususnya di Sarawak. Program ini merupakan inisiatif bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Persatuan Kontraktor Bumiputera Sarawak (PKBS) dan Dewan Ekonomi Melayu Sarawak (DEKOMS), bertempat di Hotel Serapi, Kuching, Sarawak

Tujuan utama sesi ini adalah untuk mengumpul input dan pandangan daripada pemain industri serta pertubuhan berkaitan dalam usaha merangka pelan tindakan strategik yang menyokong penyertaan kontraktor Bumiputera dalam projek-projek perolehan kerajaan. Ia juga menjadi platform penting untuk mengenal pasti cabaran yang dihadapi kontraktor Bumiputera serta mencadangkan penambahbaikan terhadap dasar-dasar sedia ada.

Program ini turut disertai oleh tokoh-tokoh penting industri termasuk Presiden DEKOMS Tuan Bujang Boji Sitam dan Naib Presiden DEKOMS, Dr. Ishak Johari, yang menegaskan komitmen penuh pihaknya untuk memperkukuh kedudukan dan daya saing kontraktor Bumiputera Sarawak. Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa libat urus sebegini amat penting bagi memastikan suara kontraktor tempatan didengari dan diambil kira dalam proses penggubalan dasar serta pelaksanaan projek kerajaan.

Antara manfaat langsung yang diperoleh daripada sesi ini termasuklah peluang memperluaskan jaringan strategik antara kontraktor Bumiputera dan agensi pelaksana kerajaan, pemahaman yang lebih jelas mengenai peluang perolehan sedia ada, serta cadangan bagi pembangunan kapasiti teknikal dan pengurusan syarikat kontraktor Bumiputera.

Sesi ini dijangka memberi impak positif dalam memperkukuh penyertaan kontraktor Bumiputera di Sarawak secara lebih inklusif dan mampan. Ia juga membuka ruang kepada kerjasama yang lebih erat antara kerajaan, industri dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menjayakan agenda pembangunan sosioekonomi Bumiputera menerusi sektor pembinaan.

Turut hadir dalam sesi tersebut ialah wakil-wakil CIDB Malaysia, ahli-ahli jawatankuasa PKBS, kontraktor-kontraktor tempatan, dan pemimpin-pemimpin NGO berkaitan industri pembinaan. Turut hadir, yang menerima jemputan edaran termasuk:

  1. Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM)

  2. PERKOBF Malaysia Cawangan Sarawak

  3. Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Cawangan Negeri Sarawak

  4. Persatuan Kontraktor Binaan dan Kejuruteraan Bahagian Kuching dan Samarahan

  5. Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS)

  6. Dayak Chamber of Commerce & Industry Sarawak (DCCI)

  7. Koperasi Usahawan Bumiputera Sibu Berhad

  8. Dewan Ekonomi Melayu Sarawak (DEKOMS)