Integriti kelebihan strategik dalam ekonomi global, pelabur kini tidak lagi melihat kemudahan fizikal semata-mata.

KUCHING: Sarawak akan terus memperkukuh budaya tadbir urus yang baik kerana integriti kini merupakan satu kelebihan strategik dalam ekonomi global.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelabur kini tidak lagi melihat kemudahan fizikal semata-mata.

Mereka katanya turut menilai kekuatan institusi, ketelusan proses, kestabilan dasar serta tahap integriti sesebuah destinasi pelaburan.

“Sebab itu, Sarawak akan terus memperkukuh budaya tadbir urus yang baik kerana integriti kini merupakan satu kelebihan strategik dalam ekonomi global.

“Usaha ini juga selaras dengan aspirasi Persekutuan melalui Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang memberi penekanan kepada pengukuhan integriti, ketelusan dan akauntabiliti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Integriti dan Kecemerlangan Industri Pembinaan Sarawak 2026 (IECONS) di Pusat Konvensyen CIDB Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Menyentuh mengenai transformasi industri pembinaan Sarawak, Abang Johari berkata ia perlu terus bergerak seiring dengan perubahan teknologi global.

Katanya penggunaan teknologi digital seperti sistem pengurusan bersepadu, pemodelan maklumat bangunan (BIM), automasi serta analitik data mampu meningkatkan kecekapan, mengurangkan risiko dan memperkukuh proses membuat keputusan.

Beliau turut percaya, gabungan teknologi, inovasi dan kepakaran manusia akan menghasilkan pembangunan yang lebih berkualiti serta mampu memenuhi keperluan generasi akan datang.

Abang Johari turut meningatkan bahawa integriti bukan tanggungjawab satu pihak sahaja sebaliknya tanggungjawab bersama melibatkan kontraktor, perunding, pembekal, pegawai teknikal, agensi pelaksana serta semua pihak yang terlibat dalam rantaian pembangunan.

“Setiap pihak memainkan peranan memastikan persaingan dalam industri pembinaan berasaskan merit, keupayaan, inovasi dan kualiti.

“Kejayaan sesebuah projek tidak seharusnya hanya dinilai berdasarkan siapnya sesuatu struktur, tetapi juga berdasarkan nilai, impak dan manfaat yang diberikan kepada rakyat,” ujarnya.

Turut hadir Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Pengerusi CIDB Malaysia Dato Yusuf Abdul Wahab dan Pengarah SPRM Sarawak Dato Hasbilah Mohamad Salleh.

Dr. Ishak Johari sebagai ketua delegasi DEKOMS yang deisertai jemputan Ahli DEKOMS Seramai 151 orang hadir dalam program tersebut.

Sumber: https://www.utusanborneo.com.my/2026/08/06/sarawak-terus-perkukuh-budaya-tadbir-urus-baik

https://www.utusanborneo.com.my/2026/08/06/integriti-asas-penting-pastikan-penyampaian-projek-pembinaan-berkualiti-selamat-dan