KUCHING, 29 Ogos – Usaha Sarawak memperkasa pendidikan dan latihan teknikal (TVET) terus mendapat pengiktirafan di peringkat nasional apabila Ahli Majlis Tertinggi (MT), Dewan Ekonomi Melayu Sarawak (DEKOMS) yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Terbilang Academy Sarawak (TAS), Dr. Ishak Johari, diumumkan sebagai penerima Anugerah Personaliti Cemerlang bagi Kepimpinan TVET & Pendidikan pada majlis Malaysia Education & TVET Awards (META) 2025) yang berlangsung di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, kelmarin.

Pengiktirafan berprestij yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha bin Sakmud, itu dianggap sebagai bukti komitmen Sarawak untuk terus memacu pembangunan modal insan melalui pendidikan berkualiti serta TVET yang relevan dengan keperluan semasa.

Menurut Dr. Ishak, pencapaian ini bukan hanya satu penghormatan peribadi, tetapi juga simbol kepada usaha kolektif warga TAS dan rakan strategik dalam menjadikan Sarawak sebagai peneraju dalam bidang pendidikan alternatif dan TVET.

“Kami di TAS percaya bahawa masa depan Sarawak bergantung kepada generasi muda yang berilmu, berkemahiran, serta berdaya saing. TVET bukan lagi pilihan kedua, tetapi laluan utama untuk membina tenaga kerja yang inovatif dan lestari,” katanya.

Sejak penubuhannya pada tahun 2005 hanya fokus kepada pusat tuisyen, TAS telah berkembang memberi fokus kepada pembelajaran sepanjang hayat, program komuniti dan kerjasama strategik dengan universiti tempatan, bagi memastikan lebih ramai anak Sarawak mendapat akses kepada pendidikan berkualiti. Dengan jaringan yang semakin luas, TAS kini dilihat sebagai antara peneraju penting dalam melahirkan tenaga kerja profesional dan separa profesional di negeri ini.

Majlis META 2025 yang turut dihadiri tokoh akademik, pemimpin industri dan penggiat TVET seluruh negara, juga menampilkan forum bertajuk “Skills for the Future, Smarter Pathways: Innovating Education & TVET for a Changing World”, yang membincangkan hala tuju pendidikan dan TVET dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang sentiasa berubah.

Penganugerahan kepada Dr. Ishak ini sekaligus menegaskan bahawa Sarawak tidak ketinggalan dalam agenda nasional memperkukuh TVET, malah semakin menyerlah sebagai negeri yang berupaya melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk keperluan pembangunan negeri dan negara.